Walighah, Isteri Nuh a.s

Siri kedua Kupasan Buku Perempuan-Perempuan Al-Quran
Karangan Fathi Fawzi Abdul Mu'thi



ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱمۡرَأَتَ نُوحٖ وَٱمۡرَأَتَ لُوطٖۖ كَانَتَا تَحۡتَ عَبۡدَيۡنِ مِنۡ عِبَادِنَا صَٰلِحَيۡنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمۡ يُغۡنِيَا عَنۡهُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَيۡ‍ٔٗا وَقِيلَ ٱدۡخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّٰخِلِينَ ١٠

Maksudnya:Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: Perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam Neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).
(Al-Tahrim, 66:10)


     Al-Quran menceritakan ramai tokoh-tokoh wanita yang seharusnya diteladani dalam pelbagai aspek kehidupan. Begitu juga, Al-Quran menceritakan juga contoh-contoh wanita yang dimurkai Allah seperti isteri Nuh a.s, isteri Luth a.s., dan isteri kepada Abu Lahab. Dalam ayat 66 surah At-Tahrim ini Allah memberi perumpamaan wanita yang mengingkari perintah Allah dan suami mereka yang soleh iaitu isteri Nuh dan Luth a.s. 

      Nuh a.s merupakan keturunan daripada Syith, iaitu putera Idris a.s. Keturunan Syith iaitu Wadd, Yauq, Suwa', Yaghuth, dan Nasr. Kesemuanya merupakan putera yang soleh dan beriman. Seluruh umat manusia pada masa mereka juga beriman dan taat kepada perintah Allah. Mereka amat mengagumi putera-putera Syith sehingga mengukir patung berupa wajah mereka sekadar untuk menghargai dan memperingati mereka bukan untuk disembah. Walaubagaimanapun, tahun demi tahun berganti keturunan, akhirnya masyarakat semakin menyimpang dan menyembah patung-patung tadi. Maka Nuh a.s diutuskan oleh Allah kepada kaumnya untuk berdakwah ke jalan Allah dan membawa umat manusia kembali ke jalan yang benar. 

       Nuh a.s antara Nabi yang paling panjang umurnya iaitu riwayat menyebut sehingga 990 tahun. Namun, umat baginda sangat sedikit yang beriman dengan dakwah baginda. Antara yang tidak beriman kepada Nuh a.s ialah isteri baginda sendiri. Isteri Nuh mengikut kitab tafsir Ibn Kathir menamakannya sebagai Walighah. Walighah memainkan watak antagonis dalam perjuangan Nuh a.s. Hal ini kerana dia bukan sahaja tidak beriman kepada Allah malah dia mengejek, memaki, menghina, mengherdik, memburuk-burukkan serta memperlekeh dakwah suaminya. Walighah juga mempengaruhi orang lain agar tidak beriman kepada Nuh a.s. 

        Walighah memperngaruhi anaknya Kan'an agar tidak beriman kepada Nuh a.s. walaupun begitu, isteri Kkan'an tidak termakan hasutan jahat ibu mertuanya itu. Begitu pula dengan hamba perempuan Nuh a.s. yang beriman diseksa oleh Walighah sekejam-kejamnya dan dipaksa agar kembali kepada agama nenek moyang mereka. Namun, keimanan mereka membatasi segala-galanya. Nuh a.s seringkali diejek oleh kaumnya kerana isteri sendiri tidak beriman kepada baginda. Mereka menganggap Nuh a.s. sebagai pendusta kerana isteri sendiri mendustakan kata-katanya dan tidak mahu mengikut ajarannya. 

         Pada suatu hari, ketika mana Nuh a.s. sudah keliru dan buntu dalam dakwah, maka baginda berdoa kepada Allah agar dihapuskan umatnya yang masih ingkar. Doa Nuh a.s diperkenan oleh Allah lalu Allah memerintahkan Nuh a.s agar membuat perahu yang sangat besar. Isterinya semakin memperlekehkan suaminya. Disangka bahawa suaminya telah penat berdakwah lalu menukar pekerjaan sebagai tukang kayu. Namun Nuh a.s tidak berhenti berdakwah kepada isterinya tanpa rasa jemu dan letih. Nuh a.sm memberitahu bahawa akan berlaku banjir besar yang akan memusnahkan seluruh kawasan mereka. Perahu itu akan menyelamatkan mereka. Walighah tetap berdegil dan menganggap bahawa suaminya gila kerana membuat perahu ditengah-tengah padang pasir. 

         Masa nya telah tiba. Apabila siap perahu yang dibina oleh Nuh a.s., Allah memerintahkan agar dipanggil semua orang yang beriman masuk ke dalam perahu tersebut dan dibawa bersama mereka sepasang haiwan pelbagai jenis. Lantas Allah menumpahkan air dari langit dan mengeluarkannya dari bumi. Hancur musnah lah kaumnya ditelan banjir besar. Nuh a.s masih bersimpati dengan anaknya Kan'an yang berlari di atas bukit untuk menyelamatkan diri. Kan'an masih berdegil tidak mahu mengikut ayahnya. Nuh a.s berdoa kepada Allah agar menyelamatkan anaknya kerana dia adalah sebahagian daripada keturunannya. Namun, Allah menolak doa Nuh a.s kerana Kan'an bukan lah orang yang beriman melainkan dia adalah kafir. Semuanya musnah termasuk Walighah dan Kan'an ditenggelami banjir besar. Perahu Nuh a.s akhirnya selamat mendarat. 

       Semua orang yang beriman selamat termasuklah anak-anak Nuh a.s iaitu Sam, Ham, dan Yafits. Mereka kemudiannya melahirkan keturunan yang bertebaran di seluruh muka bumi. Hadith Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sam bapak bangsa Arab, Ham bapak bangsa Abyssinia, dan Yafits bapak bangsa Romawi." (Riwayat 'Imran Ibn al-Hashin). Keturunan Sam tersebar menjadi bangsa Assyria, Ibrani, Arab, dan Persia yang bermukim di wilayah utara Asia dan Semenanjung Arab. Keturunan Ham pula tersebar menjadi bangsa Abyssinia (Etiopia), Nubiyyun, Mesir, India, dan yang tinggal di Afrika, dan orang Kan'an di Palestin. Seterusnya keturunan Yafits tersebar menjadi bangsa Turki, Tartar, Kurdi, Ya'juj Ma'juj, Cina, dan mereka yang tinggal di Asia, Romawi, dan Yunani di Eropah. 

       Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Walighah dan Nuh a.s bahawa iman sememangnya tidak dapat dijual beli mahupun diwarisi. Oleh itu, bersyukurlah dilahirkan dalam keadaan Islam dan iman kerana ia merupakan nikmat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Pada masa kini, ramai orang Islam yang dengan mudahnya menukar agama tanpa rasa bersalah. Begitu juga, yang agama hanya pada kad pengenalan dan nama. Namun, tidak menggambarkan sifat-sifat seorang muslim. Kita perlu meningkatkan pemahaman terhadap agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Selain itu, kita juga dapat belajar bahawa dalam menerima dakwah, kita perlu melihat kepada isi yang diperkatakan berbanding menilai pendakwah berdasarkan kelemahan yang ada padanya. Dalam kisah ini, kaum Nuh melihat Nuh sebagai pendusta kerana isterinya juga tidak percaya akan kata-katanya. Walau siapa pun yang menegur dan menasihati kita selagimana sesuatu yang baik, maka seharusnya kita menerima. Pesan Rasulullah "sampaikan lah walau sepotong ayat" ini adalah untuk umum tidak kira apa pun bangsa, umur, jantina, dan warganegara. Pengajaran lain, kita dapat melihat nasib Walighah sebagai wanita pengkhianat. Allah mengutuk perbuatannya di dalam Al-Quran bukan sekadar sejarah tetapi menjadi pengajaran kepada seluruh wanita sehingga zaman ini agar mentaati perintah suami selagi mana perintah itu tidak membawa kepada syirik kepada Allah.  

        Kesimpulannya, Walighah adalah perumpamaan kepada wanita yang jahat dan ingkar perintah Allah dan suami. Seharusnya kita mengambil pengajaran daripada kisah ini dan dijadikan pedoman dalam kehidupan. Mempelajari sirah nabi-nabi adalah untuk menguatkan hati dan jiwa kita kepada Islam. Semoga tidak ramai wanita seperti Walighah tetapi sebaik Khadijah yang sentiasa disamping suami, susah dan senang bersama. 

Comments

Popular posts from this blog

Nota Hati 1 : Kebangkitan

Hawwa Alaihassalam