Hawwa Alaihassalam

Siri Pertama Kupasan Buku Perempuan-Perempuan Al-Quran

Karangan Fathi Fawzi Abdul Mu'thi



Dari syurga megah tersergam,
Dua insan menyembah Allah,
Gelaran tersayang Nabi Adam,
Hawa namanya mudah dan indah.


Allah swt. telah menciptakan  manusia pertama yang bernama Adam a.s. Nama Adam telah disebut sebanyak 25 kali di dalam Al-Quran dan yang paling banyak di dalam surah Thaha, Al-A'raf, dan Al-Baqarah. Apabila disebut insan yang bernama Adam a.s ini pastinya tidak pernah terpisah daripada kisah Hawa a.s. Ada terdapat pelbagai kisah menarik yang boleh difahami dan dijadikan pengajaran daripada kisah Hawa a.s. 

Artikel ini akan mengupas sebahagian daripada kisah hidup Hawa a.s. Pertama, berkenaan tentang sebutan namanya di dalam Quran, kedua, asal penciptaan Hawa a.s, ketiga, kisah tergodanya Adam dan Hawa a.s oleh godaan Iblis, keempat, turunnya mereka berdua ke dunia, kelima, pertemuan semula pasangan suami isteri di dunia, keenam, zuriat dan keturunan Hawa dan Adam a.s, dan yang terakhir adalah kewafatan Hawa a.s.


Adam diciptakan daripada tanah liat lalu ditiupkan roh ke dalam jasadnya sehingga hiduplah Adam a.s di syurga. Allah memerintahkan malaikat bersujud kepada Adam a.s dan diajarkan kepada Adam pelbagai nama. Penciptaan Adam sememangnya jelas diceritakan di dalam Al-Quran. Sebagaimana penciptaan isteri Adam a.s. juga disebutkan di dalam Quran tetapi tidak dinyatakan namanya Hawa. 

Penciptaan isteri Adam a.s difirmankan di dalam Quran sebagaimana berikut : 

Maka Kami berkata: "Hai Adam, sesungguhnya ini (Iblis) adalah musush bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari syurga yang menyebabkanmu menjadi celaka ( Thaha;2:117) 


Walaubagaimanapun, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan bahawa nama Hawa ini diberikan oleh Adam a.s sendiri ketika baginda ditanya oleh Allah nama-nama dan Adam menyebutkan isterisnya itu sebagai Hawa. Hawa jika dilihat dalam terjemahan kamus Arab seperti Mu'jamul Wasit mendefinisikan perkataan hawa juga sebagai warna hitam kehijauan atau merah kehitaman iaitu seakan-akan coklat.  Hawa juga dikaitkan dengan kehidupan. Oleh itu, fahamilah kita bahwa sebab Adam menyebutkan isterinya sebagai hawa kerana warna kulitnya atau disebabkan fungsinya yang menjadi ibu dan menghidupkan seluruh umat. pgjrn

Penciptaan Hawa dinyatakan dalam firman Allah swt.:

Terjemahannya: "Dialah yang menciptakanmu dari diri yang satu, dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya" ( Al Rum;30:21). 

Dijelaskan di sini bahawa tidak terdapat satu ayat Al-Quran yang menyebutkan tentang bagaimana Hawa diciptakan atau asal-usul kejadian Hawa. Namun terdapat beberapa hadith yang menyebutkan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. 

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi saw bersabda : 
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
Maksudnya : “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-Nikah, bab Wasiat Untuk Wanita, no.hadis 4787]. 

Berdasarkan hadis ini, yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. [Lihat: Fath al-Bari, 6:368]
Selain itu, terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ المرأةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، لَنْ تستقيمَ لَكَ علَى طها طلاقُهاريقَةٍ، فإِنَّ استمْتَعْتَ بِها استمتعْتَ بِها وبِها عِوَجٌ، وإِنْ ذهبْتَ تقيمُها كسرْتَهَا، وكسرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2670]

Padanya terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadis ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak ingin membetulkannya (isteri). [Lihat: al-Minhaj, 10:57]

Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadis Nabi SAW ini. Antaranya ialah:
Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadis berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:
خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا
Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”. [Al-Zumar : 6]
Al-Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:
“Maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS.
Kemudian di jadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) - lelaki dan perempuan yang ramai”. [al-Nisa’ : 1] [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 7:75]

Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurthubi ketika mensyarahkan hadis ini. Selain kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arna’outh, beliau berkata:

“Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadis) yang sahih”. 


Menurut penulis, apa yang lebih penting ialah hikmah penciptaan Hawa. Sekiranya tulang rusuk, maka begitulah sifat wanita. Sama ada hakikatnya Hawa yang mewakili kaum wanita ini tercipta daripada tulang rusuk atau sekadar perumpamaan sahaja, namun yang lebih utama yang perlu difahami oleh kaum wanita dan lelaki bahwa wanita ini sifatnya lembut, perlu dibentuk, dibelai, dihargai, dikasihi, dan diletakkan dalam kedudukan yang sangat berhati-hati dan teliti supaya sentiasa terpelihara maruahnya. 

Setelah Hawa As diciptakan, beliau menjadi peneman dan pendamping setia Adam As. Mereka hidup dalam kesenangan dan kebagahagiaan. Tidak ada istilah susah, payah, perit, sakit, gagal, bosan, lapar, dahaga, panas, terik, malah yang ada hanyalah kesenangan, keseronokan, udara yang nyaman, dan kehidupan yang menyenangkan. Tinggal sahaja diniatkan, semuanya diperolehi dengan sangat mudah. Begitulah hakikatnya kehidupan di syurga sepertimana firman Allah SWT: 

".....(Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia), (Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya), Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia, Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir, Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya), Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka), Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar), Serta hamparan-hamparan yang terbentang" (Al-Ghasyiyah:8-16). 

Namun Begitu, kehidupan Hawa dan Adam AS tiba-tiba berubah setelah berlakunya satu peristiwa iaitu Iblis datang menggoda Adam dan Hawa AS. Adam melakukan apa yang dilarang oleh Allah iaitu mendekati dan memakan buah daripada pohon Khuldi atau Keabadian. Dalam Kitab agama Kristian menyebutkan bahawa Hawa yang memujuk Adam AS untuk memakan buah tersebut. Namun hakikatnya, sumber Islam iaitu Quran dan hadith tidak menyebut tentang Hawa memujuk Adam tetapi mereka berdua bersama-sama memakan buah tersebut dan mereka berdua sama-sama ditelanjangkan. Maka terlucutlah pakaian dari tubuh mereka. Dengan penuh rasa malu dan bersalah ledua-duanya memohon ampun dan taubat daripada Allah SWT. Doa Adam dan Hawa AS ketika itu ialah : "Ya Allah, Sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami. Sekiranya Engkau (Allah) tidak mengampunkan dosa-dosa kami, maka kami akan termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi".( Al-A'raf;7:23). Allah SWT menerima taubat keduanya dan menurunkan mereka ke dunia.  

Allah berfirman: 
"Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan. Di bumi itu kamu hidup dan dibumi itu kamu mati, dan dari bumi itu kamu dibangkitkan" (Al-A'raf:24-25). 

Beberapa pandangan mengatakan bahawa Adam diturunkan di puncak Everest, India. Sementara Hawa diturunkan di Mekah. Pendapat mengatakan di Jeddah. Dinamakan Jeddah tempat ini yang bermaksud nenek kerana tempat Hawa diturunkan. Kemudian. Allah mewahyukan kepada Adam agar pergi ke Mekah dan mendirikan sendi-sendi Ka'bah di sana. Kemudiannya, Ka'abah ini dibangunkan oleh Nabi Ibrahim selepas tiga ribu tahun. Adam bertawaf dan solat di Ka'bah seperti di Arasy. Adam mencari-cari Hawa di Mudzdalifah. Pendapat mengatakan nama tempat itu dinamakan Mudzdalifah kerana bermaksud mendekat iaitu tempat Adam mendekati dan mencari Hawa. Akhirnya mereka bertemu dan berkenal-kenalan semula di A'rafah keran itu tempat ini dinamakan A'rafah. Tempat-tempat ini kini menjadi tempat yang amat penting bagi umat Islam menunaikan Haji dan berwuquf. Walaubagaimanapun, pendapat-pendapat ini berdasarkan kajian semata-mata tidak bersumberkan Quran atau hadith. 

Adam dan Hawa AS kemudian melalui ranjau kehidupan yang pelbagai onak dan duri. Hawa merasai haid, hamil, melahirkan, dan nifas. Manakala, Adam AS harus bekerja keras untuk membela kehidupan diri, isteri, dan anak-anak. Segala-gala yang diingini harus diusahakan dengan bersungguh-sungguh.  Begitu juga, Adam dan Hawa AS perlu bijak memilih antara baik-dan buruk. Tidak lagi seperti di syurga yang sangat mudah dan indah. Semuanya memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa bersyukur dan memahami konsep hidup di dunia. Dunia ini hanyalah sementara dan yang kekal apabila kita dibangkitkan semula suatu hari nanti.

Hawa AS dikatakan melahirkan anak sebanyak 20 kali yang setiapnya adalah kembar. Hal ini bermakna anak-anak Adam dan Hawa AS ialah 40 orang kesemuanya. Antara kisah yang paling terkenal ialah kisah Habil dan Qabil yang merebut untuk mengahwini Iqlima. Kisah pembunuhan Habil oleh Qabil ini menjadi titik permulaan pembunuhan, keganasan, dan peperangan sesama manusia. Adam AS hidup sehingga 930 tahun. Tidak lama selepas Adam AS wafat, Hawa pula dijemput Ilahi. Aadam AS digantikan oleh putranya Syith. Daripada keturunan Syith ini lah lahirnya Nuh yang menjadi rasul pilihan Allah. 

Begitu banyak pengajaran yang kita perolehi daripada riwayat hidup Hawa AS. Ketabahan, kecekalan, kesetiaan dan kesabaran Hawa AS perlu diteladani dengan baik . 

Comments

Popular posts from this blog

Nota Hati 1 : Kebangkitan

Walighah, Isteri Nuh a.s